Saturday, December 20, 2008

"Keluargaku Ahli UMNO"

Satu program bercirikan Keluargaku Ahli UMNO akan dilancarkan bagi mendekatkan parti dengan golongan muda sekaligus menarik sokongan mereka untuk membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) di Kuala Terengganu.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Mohd Sabri Alwi memberitahu program tersebut akan dilancarkan dalam masa terdekat ini oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Jelas beliau program khas ini akan memberi tumpuan lebih kepada golongan muda dan rakan sebaya mereka dengan fokus kepada aktiviti sukan dan permotoran.

"Ini adalah di antara pendekatan kita kerana sokongan lebih 20,000 pengundi muda bakal menjadi penentu dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.

"Kita yakin dengan gerak kerja yang telah kita lakukan sebelum ini di samping pendekatan yang dibuat kerajaan negeri, pengundi khususnya golongan muda akan bersama dengan kita", katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program mengagihkan bendera BN sebagai tanda bermula gerak kerja yang diadakan di Bilik Gerakan UMNO Kuala Ibai baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan 500 helai bendera BN kepada setiap ketua cawangan dalam kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Menurutnya, penyerahan bendera ini merupakan simbolik supaya ahli-ahli Pemuda UMNO bekerja keras memastikan kemenangan BN pada 17 Januari nanti.

"Kerja keras itu ialah daripada segi menarik undi golongan muda serta memasang bendera di seluruh kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

"Kita mahu supaya bendera berkenaan dipasang di tempat strategik sepanjang kempen nanti tanpa mengabaikan keselamatan orang awam", ujarnya.

Pada masa yang sama beliau juga yakin seluruh jentera akan bergerak secara bersepadu dan memberi sokongan penuh kepada siapa jua yang akan dipilih pucuk pimpinan parti untuk menjadi calon pada pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu nanti.

No comments:

Post a Comment