Saturday, December 27, 2008

Sikap Membisu Anwar Dalam Isu Hukum Hudud Dipersoalkan

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mempersoalkan pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seolah-olah cuba bermain politik secara selamat tanpa memberi sebarang ulasan berkenaan pelaksaan hukum hudud.

Jelas beliau pihaknya percaya tindakan itu dibuat dengan harapan isu berkenaan tenggelam begitu sahaja.

"PKR bisu kerana saya fikir dia hanya mahu selamat dengan harapan isu ini akan tenggelam begitu sahaja. Jadi, mereka fikir apabila tidak bercakap dalam soal ini, nanti isu ini pun akan mati begitu sahaja, jadi tidak perlulah mereka membuat pendirian,'' katanya.

Setakat ini hanya DAP sahaja yang dilihat begitu lantang membidas kenyataan Pas yang mahu melaksanakan hukum hudud sementara PKR khususnya Penasihat mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum lagi mampu membuat sebarang kenyataan.

Khairy berkata, hasrat Pas dalam melaksanakan hukum hudud sekiranya mentadbir negara adalah satu dasar yang tidak konsisten memandangkan rakan mereka dalam pakatan pembangkang itu tidak senang dengan cadangan berkenaan.

"Malah hasrat Pas itu hanya akan mewujudkan kekeliruan di kalangan rakyat yang sebelum ini menaruh harapan terhadap kepimpinan pakatan tersebut.

"Kalau ingin mentadbir Kerajaan Pusat, mereka sepatutnya perlu mempunyai dasar yang konsisten dan tidak boleh diubah-ubah kerana perkara ini hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat," ujarnya.

Justeru beliau seterusnya percaya hubungan pakatan pembangkang hanya ibarat retak menanti belah berlandaskan senario yang berlaku setelah Pas mahu meneruskan agendanya itu walaupun ditentang keras oleh DAP.

No comments:

Post a Comment